BUSINESS MANAGEMENT COURSE 98

Home | Senarai Nama | Nombor Telefon Ahli | Alamat Ahli | Album Gambar | Nukilan Rasa | Aktiviti Terdahulu Dan Akan Datang | Laman Web Yang Berkaitan | Hubungi Saya! | Buku Tamu








Nukilan Rasa

GHAZAL UNTUK SHEILA      

 

Ketika ini pintu hatiku terkatup dan terpateri rapat untuk istilah cinta Laila dan Majnum. Aku tak percaya ! bagiku tidak ada cinta semurni Allah kepada hambanya. Rahmat dan kasihnya tetap mencurah walaupun hambanya ingkar dalam melaksanakan seruannya, juga tidak terdapat cinta yang seutuh cinta ibu kepada anaknya, biarpun anaknya tidak pernah mengenang budi namun cinta tetap kukuh dan tidak mudah digoyah.

 

            Aku yakin, cinta berlandaskan kecantikan akan pudar dimamah usia. Cinta berteraskan pangkat dan darjat akan hanyut bersama hilangnya kedudukan dan cinta bersemadikan budi akan mati bersama terkuburnya jasad. Jadi.. tidak ada cinta yang kekal melainkan cinta terhadap Allah.berdasarkan keyakinan ini,aku tidak pernah cuba mendekati cinta yang palsu. Kini usiaku mencecah angka dua puluh namun lambaian cinta palsu tidak pernah dilayan. Aku bimbang tertipu kerananya, aku tak tahan menanggung rasa. Jadi sebelum ia terjadi aku perlu menghindarinya.

 

            Tapi sejak  kebelakangan ini, pintu hatiku mula diketuk orang. Panahan api asmara menyala-nyala membakar pintu hatiku.Hatiku yang dulunya keras, kini bagaikan nak cair. Lambaian cinta terus melambai-lambai memanggilku. Aku tahu pencurinya! Seorang gadis bertudung yang saban pagi ditemui dalam perjalanan ke tempat kerja. Akibatnya hilang rasa bosan menaiki bas setiap hari. Malah aku mula menjadi pencari dan penanti yang setia. Aku akan menjadi penanti, sekiranya aku datang awal ke perhentian bas. Aku akan menantikan kehadirannya. Semasa dia mencari tempat duduk dalam bas, mataku akan memburu anak matanya. Untuk beberapa detik anak mata kami akan bertikaman dan dia lalu mengambil tempat duduk. Dan aku akan menjadi pencari sekiranya aku lewat. Setelah memanjat tangga bas, biji mataku meliar mencarinya. Biji mataku akan bertembung dengan anak matanya. Dia seringkali tewas, terkulai menyembah lantai bas. Tempat ku pasti dibelakangnya jika masih ada bangku yang kosong. Aku akan menjamu mataku sepuasnya menikmati kecantikan anugerah ilahi kepadanya. Tudungnya akan terselak apabila ditiup angin menyerlahkan leher jinjangnya yang putih. Anak mataku akan pasti menikmati habuan yang tersaji.

 

            Siapakah dia? Dimanakah rumahnya? Dan apa pula kerjanya? seribu pertanyaan bertandang  dan menendang otak kepalaku. Tapi. Aku takut bersuara. Dari pengamatanku, dia mungkin seorang pegawai disektor awam. Tapi itu hanyalah kemungkinan dan kemungkinan tidak menjamin kebenaran. Berkecamuk otakku memikirkannya, aku terlalu ingin mendekatinya sekaligus mengenalinya. Aku terpikat akan kecantikan semulajadi anugerah ilahi kepadanya. Aku tertawan dengan kelembutan wajahnya. Aku terpesona dengan gayanya dan aku telah jatuh cinta dengannya? Aku tak pasti! Yang jelas, aku sayang padanya. Orangnya lembut dan berbudi bahasa. Wajahnya bujur sirih, matanya besar lagi bersinar-sinar seolah memberikan sinar harapan untukku, tubuh badannya sederhana dan kulitnya putih kuning. Dibawah bibir sebelah kiri terdapat tahi lalat sebesar kepala mancis, kata orang tahi lalat penyeri wajah. Aku mabuk akan kejelitaannya. Aku kagum!.....

 

            Soalnya kini, bagaimana hendak aku mula? Cara mana hendakku dekati? Aku takut! Aku takut untuk mendekatinya, aku bimbang huluran salam perkenalanku akan ditolak. Malu nanti, mana hendak aku sorokkan muka yang termalu ini? Aku sedar siapa aku, aku hanya kerani rendah, kerani rendah macam aku hanya layak bergandingan dengan minah kilang atau yang setaraf dengan ku. Aku lemah! Perasaan rendah diri mula menguasai diri dan sesekali timbul perasaan optimis. Aku juga mencari rezeki yang halal. Kerani rendah pegawai bank atau pun tauke semuanya sama, sama-sama bekerja untuk mencari makan. Semangatku kembali berkobar. Aku mesti mencuba! Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Aku perlu mencari dan mencipta peluang bukannya menanti tuah datang melayang.

 

            Esoknya, aku bangun awal dengan membulatkan tekad. Aku meredah kesamaran subuh yang dingin menuju perhentian bas. Dalam perjalanan, aku merangka pelbagai strategi. Dan aku juga merancang pelbagai rancangan. Fikiranku berligar-ligar, berkira dan bercongak. aku pasti berjaya!!!  terpacul keluar kata-kata itu tanpa aku duga. Aku sampai ke perhentian bas awal dari biasa. Aku mengamati keadaan sekeliling, manusia keluar berpusu-pusu, semuanya keluar dengan satu tujuan tapi berlainan destinasi. Biji mataku terpaku menyaksikan gelagat manusia yang beraneka ragam dan gaya, tiba-tiba aku tersentak. Lamunanku terhenti, sebuah kereta Mercedes Benz E230 berhenti betul-betul depan mataku. Apa!!!??? aku bagaikan tidak percaya, dadaku berdebaran dan semangatku luntur. Dia melangkah keluar daripada Mercedes itu lalu mendapatkan bas yang sedia menanti. Anak matanya sempat menjeling tajam ke arahku. Kali ini aku tak kuasa menentang anak matanya dan untuk kali pertamanya aku tewas.

 

            Siapakah yang menghantarnya pagi itu? Adakah suaminya??? Tak mungkin, orang itu terlalu tua buat dirinya. Dan kalau orang itu suaminya masakan dia bekerja dan menggunakan kenderaan awam ke tempat kerja. Mungkin juga orang itu ayahnya kerana rupa parasnya agak mirip menyerupai orang itu. Namun begitu, aku tetap gelabah kerana hatiku terpaut pada anak orang berada. Mana mungkin begini! Aku tak layak mendampinginya, anak jelitawan yang juga anak hartawan. Apa yang aku ada? Hanya sekeping hati yang tulus dan sendat dengan cinta suci. Tapi siapa yang akan melihat? Manusia hari ini mengukur segala-galanya dengan mata benda. Sekali lagi aku tewas sebelum berjuang. Segala perancangan lebur begitu sahaja. Seharian aku termenung macam ayam berak kapur. Aku resah dan gelisah tak menentu. Aku cuba untuk melupakan dirinya tapi semakin aku cuba semakin aku bingung. Setelah sekian lama bermain dengan perasaan, aku putuskan untuk menjauhkan diri darinya. Aku sudah tak tahan untuk terus gila bayang. Aku perlu lari darinya. Aku nekad tak mahu lagi melihat walaupun bayangnya. Apa guna aku bermain dengan perasaan? Tak ada faedah aku menjeruk rasa. Aku tak sanggup makan hati berulamkan jantungku sendiri.

 

            Aku cuba memburu bas yang paling awal. Percubaanku gagal. Bas itu terlepas dan aku terpaksa naik bas yang itu juga. Aku resah kerana percubaan pertamaku untuk melarikan diri darinya gagal. Aku terpaksa berhadapan dengan situasi yang tidak menyenangkan. Aku mendapatkan bas yang sedia menanti. Aku gelabah walaupun aku orang yang pertama mengisi perut bas itu. Sementara menunggu bas bertolak, aku melayan perasaan sendiri. Fikiranku berputar ligat tanpa haluan. Sedar-sedar bas telah hampir penuh. Biji mataku berlari meneliti ke setiap bangku dalam bas itu. Dia tidak kelihatan, hatiku lapang. Aku mengalihkan pandanganku keluar mengamati kenderaan yang bertali arus. Sedang aku leka melayan perasaan tiba-tiba terasa ada orang melabuhkan punggungnya di sebelahku. Aku kalih, darahku tersirap dan lidahku kelu. Aku hanya mampu menghadiahkan senyuman sumbing. Dia membalasnya, manis menjadikan aku tak keruan. saudara! dia menyapa lembut dan bersahaja. Aku kalih memandang. Kenapa saudara kelihatan resah salahkah saya tumpang duduk di sini? Dia menyambung sambil menghadiahkan senyuman yang cukup menarik. Bubu.. bukan begitu aku gugup. Habis kenapa? pintasnya. Maafkan saya. Sebenarnya telah terlalu lama saya memendam rasa. Saya ingin mengenali saudari. Tapi tapi saya takut untuk berterus terang. Saya jadi tak tentu. Sekali lagi maafkan saya, aku hairan bagaimana meletus kata-kat itu. Mungkin juga aku terdesak dengan soalannya itu, menyebabkan aku menjawab dengan jawapan yang sedia terperam dalam lubuk hatiku. Mengapa harus takut bila sudah ada keinginan? dia mencabar kelakianku. saya bimbang!, aku menjawab pendek. Kenapa harus bimbang sedangkan saudara masih belum mencuba? dia terus menyerangku. Setiap jawapannya menghentam batang hidungku. Aku hairan!

 

            Saya hanya kerani rendah. Saya tidak punya apa-apa yang boleh dibanggakan dan saya kira saudari adalah seorang yang berjawatan tinggi dan dari anak orang berada, jurang perbezaan di antara kita terlalu jauh umpama langit dan bumi, aku menjelaskan permasalahan yang menghantuiku selama ini. Saudara!!! Semua perbezaan itu adalah ciptaan manusia untuk menyusahkan manusia itu sendiri. Sedangkan kita sama-sama makhluk Allah, sama-sama bekerja mencari makan, baik pegawai tinggi mahupun kerani rendah ujarnya. Aku senang dengan jawapan itu. Aku kira jawapan itu merupakan lampu hijau bagi menjalinkan persahabatan. Aku perlu meraih peluang yang terserlah ini. Aku sedia menanggung risiko akibat tindakan itu. Aku mesti berani. Aku perlu tabah dan aku perlu berjuang untuk mendapatkan apa yang dihajati. Perjuangan ini adalah suatu kemestian dalam hidup. Jadi saudari tidak keberatan untuk menerima saya sebagai sahabat?, kini giliran aku pula mengajukan soalan. Dia tidak menjawab sebaliknya merenungku atas dan bawah lalu menghadiahkan senyuman yang paling manis seraya menggangguk kepala atas dan bawah beberapa kali. Aku tak menduga bahawa hasrat hatiku disambut dengan baik. Jika dari awal aku tahu tidak sepayah ini aku memikirkannya. Aku tidak akan membiarkan hati dan perasaanku terus berperang.

 

            Sejak itu persahabatan terus dijalinkan, selembar demi selembar. Cukup erat dan amat membahagiakan. Aku gembira dan terbuai dengan keasyikan cinta. Aku terlena dan tenggelam dalam buaian asmara. Rupanya cinta tidak mengenal pangkat dan darjat. Cinta juga tidak mengenal rupa dan sememangnya cita itu buta. Namun ketika sedang dilambung gelombang asmara tiba-tiba badai datang melanda. Pada suatu petang sebagaimana yang dijanjikan aku menemuinya di Terminal satu Seremban. Tempat dimana kami sama-sama memupuk, menyemai dan mambaja benih-benih cinta, pertemuan petang itu amat menyakitkan. Saiful!! katanya sayu ketika kami mengambil tempat duduk yang agak terpencil daripada orang lalu-lalang. Aku tidak menjawab sebaliknya memandang dengan penuh kehairanan. Saiful betulkah Saiful sayangkan Sheila? ujarnya dengan linangan air mata. Ya! Kenapa? Adakah Sheila ingat Saiful berpura-pura dan hanya hendak mempermainkan Sheila? jawabku. Kalau Saiful betul-betul sayangkan Sheila, bawa Sheila lari dan kita kawin. Apa kahwin lari!!! tapi mengapa???, aku hairan dan tidak menyangka kata-kata itu akan termuntah keluar dari mulutnya. Sheila akan ditunangkan dengan sepupu Sheila. Dia seorang ahli perniagaan di Johor. Aku tersentak. Sudahku duga begini kesudahannya perhubungan kami. Air matanya keluar bercucuran. Aku mengambil tisu dan mengesat air matanya. Aku masih dapat bersabar. Aku tetap tenang  walaupun dadaku bergelora. Habis Sheila bagaimana? aku mengajukan soalan bodoh sedangkan dia telah menyatakan pendiriannya tadi. Kita lari dan kahwin tegasnya. Jangan Sheila.. jangan!. Mengapa, Tak baik Sheila. Salah di sisi agama dan tak manis disisi adat. Jangan diikut nafsu muda kelak buruk padahnya. Lagipun sanggupkah Sheila meninggalkan segala kesenangan yang Sheila kecapi selama ini?, sanggupkah Sheila melukakan hati kedua ibu bapa Sheila dan memutuskan tali kekeluargaan di antara keluarga Sheila dengan keluarganya? Jika Sheila sanggup ayuh, tapi saya harap Sheila fikir baik-baik aku berhenti seketika sambil menarik nafas lalu meneruskannya. Bukannya Saiful tak sayangkan Sheila. Bagi Saiful Sheila adalah segala-galanya. Sheilalah satu-satunya gadis yang berjaya mencuri hati ini, tapi sebagai manusia kita hanya mampu merancang dan ketetapan di tangan Allah kehendak kedua ibu bapa Sheila demi untuk kebaikan masa depan Sheila. Saiful rela menggadai cinta pertama Saiful demi kebahagiaan Sheila, kataku lancar.

 

            Saiful!! dia meraung dan mukanya di sembam ke dadaku. Sudahlah sayang, jangan menangis lagi. Anggaplah semua ini dugaan tuhan untuk menguji sejauh mana kesabaran kita. Terimalah pengorbanan suci Saiful buat Sheila demi masa depan Sheila. Saiful memang tak mampu memberikan kebahagiaan  di sudut material. Lagipun kita mesti ingat bercinta tidak semestinya berakhir di gerbang perkahwinan biarpun itu yang kita inginkan, aku sebak dan berhenti seketika kemudian meneruskan. Cuma satu pinta Saiful darimu sayang. Apa dia???. Dia mendongak dengan biji mata yang merah. Biar kita tetap tinggal sebagai sahabat dan ingatlah dimasa senangmu bahawa ada insan yang menderita merinduimu, kataku. Saiful!!! dia menjerit sambil memeluk tubuhku erat, bagaikan tak mahu dilepaskan. Air mataku mula melimpah dan gugur setitik jatuh mengenai pipi gebunya. Harapan dan impianku musnah ditelan badai setelah gelora cinta membara.....